ALOR SETAR – Proses tapisan sedang dilakukan untuk pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 bagi mengatasi masalah kekurangan guru membabitkan 19,431 kekosongan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, permohonan yang dibuka pada bulan lalu telah ditutup, baru-baru ini.
“Kita iklankan kepada semua iaitu terbuka kepada pemohon daripada bidang pendidikan dan juga daripada mereka yang bukan daripada bidang pendidikan.
“Jadi, permohonan telah diterima dan dalam proses untuk tapisan,” katanya pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan kerja rasmi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakyat, di sini hari ini.
Permohonan pengambilan PPP Gred DG41 itu dibuka pada 7 April dan ditutup pada 21 April lalu dengan hanya pemohon yang melepasi tapisan serta memenuhi syarat akan dipertimbangkan untuk panggilan temu duga.
Menurut Hui Ying, proses permohonan itu dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan sambutan diterima sangat menggalakkan.
Kosmo! pada 1 April lalu melaporkan KPM akan mengadakan pengambilan khas guru-guru baharu dalam tempoh terdekat bagi mengatasi masalah kekurangan guru bagi beberapa subjek teras di negara ini.
Kekurangan guru itu melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.
Jumlah kekurangan guru KPM setakat 31 Januari lalu adalah sebanyak 19,431 kekosongan iaitu kira-kira 4.49 peratus.
Kekosongan berlaku disebabkan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE