KUALA NERANG – Seorang bomoh lelaki yang aktif memperdayakan wanita di sekitar padang Sanai, Padang Terap di sini dipercayai mengamalkan ilmu sihir.
Perkara itu didedahkan oleh dua daripada lima wanita yang menjadi mangsa lelaki tersebut yang dikenali sebagai Pak Su dan berusia lingkungan 50-an.
Mereka mendakwa, suspek yang menetap di Sungai Petani dan berkahwin dengan penduduk kawasan itu menyasarkan kaum wanita yang memakai banyak perhiasan emas termasuk saudaranya sendiri.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Halimah, 35, mendakwa, dia mengenali Pak Su selepas diperkenalkan oleh seorang saudaranya untuk mengubati penyakit yang dialaminya pada Disember tahun lalu.
Katanya, dia terdesak untuk berubat dengan lelaki itu selepas menderita penyakit misteri selama hampir dua tahun.
“Ketika berubat, dia (Pak Su) menyebut Bismillah sebelum membacakan sesuatu yang tidak difahami.
“Beberapa minit selepas dia melakukan jampi, kelihatan beberapa objek seperti jarum dan paku keluar daripada badan saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Halimah, selepas mendapatkan rawatan dengan bomoh tersebut, badannya terasa sihat, namun kembali sakit beberapa minggu kemudian.
Untuk rawatan kali pertama, dia dikenakan bayaran sebanyak RM650.
Artikel berkaitan : Bomoh temberang kebas barang kemas
Halimah kemudiannya terpaksa berubat sekali lagi dengan Pak Su selepas penyakit misteri tersebut menyerang kembali.
“Pada pertemuan kedua, Pak Su meminta barang kemas milik saya untuk dilihat sama ada terdapat makhluk halus yang ‘menumpang’.
“Saya menyerahkan barang kemas seperti rantai, gelang tangan dan cincin bernilai RM15,000. Pak Su membalut barang kemas itu dengan kain berwarna putih yang kemudiannya digantung di dalam bilik saya,” katanya.
Dakwa Halimah lagi, Pak Su tidak membenarkan bungkusan itu dibuka kecuali dengan keizinannya atau penyakit yang dialaminya akan berulang malah lebih teruk lagi sekiranya melanggar arahan tersebut.
“Pada awal bulan lalu, seorang saudara menasihatkan saya membuka bungkusan itu kerana ia perbuatan syirik sebelum mendapati isi di dalamnya rupa-rupanya barang kemas palsu.
“Saya segera menghubungi Pak Su dan dia berjanji akan pulang ke kampung untuk berbincang, namun selepas itu gagal dihubungi, jadi saya buat laporan polis,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Aishah, 65, pula mendakwa, bomoh itu memberitahu dia terkena buatan orang.
Pak Su kemudian mengurut tangannya sehingga mengeluarkan darah pada Julai lalu.
“Dia minta emas milik saya dan membalutnya dengan kain berwarna putih kerana mendakwa ada makhluk halus mengganggu dan dilarang membukanya.
“Pada bulan lalu, saya membuka kain putih itu dan mendapati barang kemas sudah tiada. Yang tinggal dompet kosong,” katanya yang kerugian RM13,000.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, pihaknya masih mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
“Setakat ini, seramai lima individu dikenal pasti menjadi mangsa bomoh itu melibatkan kerugian RM91,000,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan gara-gara mempercayai cakap bomoh, seorang kerani wanita rugi RM45,000 apabila sebahagian barang kemasnya dilarikan suspek yang melakukan ritual bagi menghalau makhluk halus di rumahnya baru-baru ini.-K! ONLINE