DALAM kemeriahan Syawal yang sudah memasuki minggu kedua, isu Datuk Hattan ‘sekolahkan’ pembaca berita masih panas hingga ada yang sanggup mengugut dan mahu menghantar santau terhadap keluarga penyanyi otai itu. Sudah-sudahlah, jangan emosi tak bertempat.
Kontroversi membabitkan penyanyi Biso Bonar itu terus mencetuskan polemik hingga ke tahap keluarganya turut menerima gangguan akibat rasa tidak puas hati sebahagian besar pengguna maya.
Kalau tengok semula paparan sedutan wawancara antara penghibur itu dengan pembaca berita terbabit, memang kita tertanya-tanya motifnya bertindak sedemikian.
Realitinya, Hattan sebenarnya terkenal dengan sikap mesra dengan orang media terutama wartawan hiburan walaupun gurauannya kedengaran kasar.
Apabila membabitkan bab kerja pula, memang dia seorang yang cukup serius dan bersungguh-sungguh. Jadi mungkin pada hari berkenaan Hattan terkhilaf.
Cuma sebagai manusia, siapa kita nak menghukumnya seisi keluarga. Janganlah disebabkan ketelanjuran kata-katanya, anak dan isteri turut diheret ke kancah yang seakan tiada pengakhiran.
Bukan hendak menangkan penyanyi ini kerana Mizz Lahar pun asalnya sentap juga mendengar bebelannya yang seolah-olah tak memahami soalan.
Pada figura otai ini Mizz Lahar yakin pintu hatinya akan terbuka untuk bermaaf-maafan dengan Nursyazwani Saiful Sham. Ular menyusur akar takkan hilang bisanya.
Mizz Lahar: Sebelum ini memang ramai artis bergaduh dengan wartawan.