PERCAYA konsep kelahiran semula, pelakon Kim Dong-wook menyimpan impian untuk dilahirkan semula sebagai aktor popular, Jung Woo-sung.
Alasan Dong-wook, Woo-sung memiliki visual wajah yang menarik dan maskulin tidak seperti dirinya yang sering dikatakan lelaki comel.
“Secara visual, saya memilihWoo-sung kerana dia lelaki yang lebih maskulin yang berbeza dengan wajah saya yang comel,” katanya secara berseloroh.
Impian tersebut dikongsinya dalam temu bual program radio Cool FM, Park Myung-soo’s Radio Show bagi mempromosikan drama terbaharu lakonannya, My Perfect Stranger bersama Jin Ki-joo.
Menerusi temu bual tersebut, Myung-soo selaku hos ada bertanyakan soalan kepada pelakon berusia 39 tahun itu yang sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk dilahirkan semula sebagai beberapa selebriti terkenal seperti Ha Jung-woo, Joo Ji-hoon dan Lee Jung-jae.