KUALA TERENGGANU – Kebakaran hutan semakin menjadi-jadi di Terengganu ekoran cuaca panas sejak dua bulan kebelakangan ini dengan 743 kes dilaporkan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Hassan As’ari Omar berkata, sebanyak 254 kes kebakaran hutan dilaporkan pada bulan Mac.
“Kes kebakaran hutan di negeri ini semakin melonjak kepada 489 kes pada bulan lalu ekoran cuaca yang semakin panas dan sebagai perbandingan, cuma 12 dan 39 kes kebakaran hutan dilaporkan di negeri ini masing-masing pada bulan Januari dan Februari lalu,” katanya di sini hari ini.
Hassan As’ari berkata, kawasan hutan di Kuala Nerus paling banyak terbakar iaitu 151 kes diikuti Dungun (122), Marang (114) dan Kuala Terengganu (109).
Tambah beliau, 98 kes kebakaran hutan diterima di Besut, Setiu (93), Kemaman (92) dan Hulu Terengganu (15) sejak awal tahun ini melibatkan hutan gambut, kebun, belukar serta kawasan lalang yang kebanyakannya disebabkan cuaca panas. – KOSMO! ONLINE