fbpx

Isu gugur taraf pelajar dibawa ke peringkat tertinggi UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Isu status gugur taraf (GT) yang tular di kalangan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dibawa untuk pertimbangan sewajarnya di peringkat pengurusan tertinggi universiti itu.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memahami dan dan cakna bahawa ramai mahasiswa UiTM terkesan dengan denda RM200 yang dikenakan bagi mengaktifkan semula status sebagai pelajar.

Katanya, umum mengetahui sistem pelaksanaan status GT telah dilaksanakan pada setiap semester berdasarkan Peraturan Akademik Diploma dan Sarjana Muda UiTM (Pindaan 2021).

Ujarnya, pelajar yang dikenakan status GT merupakan pelajar yang gagal mendaftar kursus pada tarikh yang ditetapkan atau pelajar yang tidak memohon penangguhan bayaran yuran bagi semester semasa dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Pelajar juga seharusnya telah sedia maklum mengenai tempoh permohonan penangguhan bayaran yuran seperti yang tertera dalam Kalendar Akademik Sesi II Mac hingga Ogos 2023.

“Kami telah mencadangkan agar pengecualian bayaran denda RM200 atau diskaun bayaran denda dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan keluhan pelajar yang secara tiba-tiba mendapat notis digugurkan taraf sebagai pelajar baru-baru ini atas alasan tidak membayar yuran.

MPP UiTM Se-Malaysia menambah, pihaknya menghormati peraturan yang telah termaktub di dalam Perkara 2.32 Peraturan Akademik UiTM berkaitan Pengaktifan Semula Status Sebagai Pelajar Setelah GT.

Jelasnya, pihaknya telah pun berbincang bersama pihak pengurusan tertinggi UiTM agar pelajar yang terlibat khususnya pelajar yang memerlukan khidmat rujukan, boleh berhubung dengan Penasihat Akademik, Ketua Pusat Pengajian, Timbalan Dekan, Dekan atau Timbalan Rektor di fakulti dan cawangan masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI