fbpx

Dua termasuk kakitangan RTM maut kemalangan tiga kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam MPV dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 18 Jalan Lipis-Benta di Lipis hari ini.

LIPIS – Dua lelaki termasuk seorang kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) maut dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 18 Jalan Lipis-Benta di sini hari ini.

Kejadian kemalangan kira-kira pukul 1.40 petang itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan lori.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah pemandu MPV Mohd Zubairi Abdullah,47, yang merupakan Ketua Unit Saluran Berita RTM dan pemandu lori Chang Kai Meng,58.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, semasa kejadian pemandu MPV bersama lima penumpang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari arah Lipis ke Benta.

“Apabila sampai di tempat kejadian MPV itu dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh lori dari arah bertentangan sebelum sebuah pacuan empat roda merempuh lori dari arah belakang.

“Akibat kemalangan pemandu MPV dan lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penumpang MPV dan seorang kelindan lori mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.

Menurut Azli mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Dalam pada itu katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.

Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian cuaca baik dan permukaan jalan adalah kering. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI