LUMUT – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila anak perempuannya berusia lima tahun terkunci lebih 30 minit di dalam kereta di Taman Samudera, Seri Manjung, dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.26 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung diketuai Pegawai Bomba Kanan II Adde Noor Othman, bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba didapati seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terperangkap dalam kereta Perodua Viva yang berkunci.
Jelas beliau, pihaknya difahamkan kanak-kanak itu sedang tidur ketika ibunya memberhentikan kenderaan untuk pergi membeli barangan di sebuah kedai di situ sebelum menyedari pintu kenderaan itu terkunci dari dalam.
Beliau memaklumkan, kanak-kanak itu dipercayai sudah terperangkap kira-kira 20 minit dalam kereta itu sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Terangnya lagi, anggota bomba menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membuka pintu kereta tersebut sebelum menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada ibunya. – KOSMO! ONLINE