WOLVERHAMPTON – Percaturan berani pengurus Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo menurunkan pemain muda berusia 19 tahun, Rayan Ait-Nouri yang membuat debut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ternyata membuahkan hasil.
Bek kanan itu bukan sahaja mempamerkan permainan menarik, malah turut menjaringkan gol membantu Wolves menewaskan Crystal Palace 2-0 pada aksi EPL di Stadium Molineux awal pagi semalam.
“Saya sangat gembira dengan prestasi Ait-Nouri pada perlawanan pertamanya bersama Wolves. Apa lagi yang boleh saya minta kerana dia cukup cemerlang hari ini.
“Dia masih muda, umurnya baru 19 tahun dan banyak lagi yang boleh dilakukan untuk meningkatkan tahap permainannya. Saya gembira kerana dia tidak mengecewakan apabila diberi peluang,” kata Santo.
Kecemerlangan itu membuktikan Wolves telah membuat keputusan tepat untuk mendapatkan khidmat Ait-Nouri secara pinjaman daripada Angers SCO secara pinjaman hingga akhir musim ini.
Satu lagi gol Wolves dijaringkan oleh Daniel Podence manala pemain tengah Palace, Luka Milivojevic dilayangkan kad merah kerana terjahan keras ke atas Joao Moutinho pada lewat permainan.
Kemenangan itu menyaksikan Wolves kini sudah berjaya mengumpul 13 mata daripada tujuh perlawanan liga, sekali gus menyuntik semangat mereka menghadapi aksi seterusnya menentang Leicester City minggu depan. – AGENSI