KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pengimport telur, dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan mengiklankannya dalam akhbar.
Timbalan Pendaftar Rozana Husin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan syarikat itu untuk menyerahkan dokumen tersebut melalui penyampaian ganti dengan mengiklankan dalam akhbar selepas penyampaian secara peribadi tidak dapat dilaksanakan.
Peguam Elyse Ng, yang mewakili syarikat itu ketika dihubungi berkata, sebelum ini pihaknya tidak dapat menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada Mohamed Azmin walaupun membuat percubaan beberapa kali.
“Kami diarahkan oleh mahkamah untuk menyampaikan kertas kausa (kepada Mohamed Azmin) dengan menyiarkan notis di dalam akhbar tempatan. Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 16 Mei ini,” katanya.
Syarikat pengimport telur itu memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin berhubung ucapan berbaur fitnah yang mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India.
Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat itu mendakwa Mohamed Azmin (defendan) membuat dan menerbitkan satu ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam “Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman” di sebuah dewan di Taman Melewar di sini pada 11 Mac lalu.
Menurut syarikat itu yang bertindak selaku plaintif, ucapan itu turut diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik di dalam dan luar negara termasuk YouTube.
Katanya, walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan di dalam ucapan berkenaan, tetapi jelas merujuk kepada plaintif kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang Parlimen pada 8 Mac lalu.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu diterbitkan atau diterbitkan semula oleh defendan walaupun mempunyai pengetahuan bahawa syarikat berkenaan hanya mengimport telur dari India sebagai langkah sementara.
Ia sebagai bekalan kepada pasar raya tempatan, pasar mini dan pasar raya ketika musim perayaan bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan telur yang serius di pasaran mulai Oktober 2022.
Kata syarikat itu lagi, kenyataan berkenaan tidak benar dan melampau kerana ia tidak pernah terbabit dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus dengan kerajaan.
Plaintif mendakwa tindakan Mohamed Azmin itu berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan imej serta reputasinya selain untuk mencapai publisiti murahan dan kepentingan politik.
Sehubungan itu, ia memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan ucapan fitnah itu dan memohon ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk teruk, ganti rugi teladan, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE