KANGAR – Dua peguam kepada penceramah terkenal, Ustaz Wadi Annuar atau nama sebenarnya Mohammad Wadi Annuar Ayub mendakwa dihalang menemani anak guamnya memberi keterangan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di sini, hari ini.
Penceramah terkenal itu tiba di pekarangan pejabat JAIPs kira-kira pukul 10.30 pagi tadi bersama peguamnya, Mohd. Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh.
Menurut Mohd. Jamil, pada mulanya kehadiran mereka disambut oleh pegawai jabatan agama tersebut, namun hanya membenarkan seorang peguam menemani anak guamnya memasuki premis tersebut.
“Setelah berbincang kira-kira 10 hingga 15 minit, mereka membenarkan kedua-dua peguam memasuki premis berkenaan untuk menemani anak guam kami memberi keterangan kepada bahagian siasatan jabatan itu.
“Kemudian, anak guam kami dipanggil secara berseorangan oleh dua pegawai JAIPs untuk direkodkan keterangan dan kami memohon untuk turut serta menemani Wadi Annuar,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kompleks Pendidikan Maahad Tahfiz Al-Quran Al Imam An Nawawi (Matin) di sini hari ini.
Wadi Annuar hari ini dijadualkan memberi keterangan berhubung penglibatannya dalam program Solat Tarawih dan Sembang Santai bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan Matin di Kampung Abi, Padang Machang, di sini, pada 30 Mac lalu tanpa mendapat tauliah Jabatan Mufti Perlis.
Menurut Mohd. Jamil, bagaimanapun ketika menunggu untuk memberi keterangan, seorang pegawai wanita mengatakan bahawa kedua-dua peguam itu tidak dibenarkan menemani anak guamnya untuk memberi keterangan.
“Keadaan ini agak pelik kerana ia tidak seperti prosedur biasa di mana peguam boleh menemani anak guamnya untuk memberi keterangan. Mereka memberi alasan, kami (peguam) tidak berada di lokasi ketika kejadian berlaku.
“Sebelum ini pun kita juga pernah memberi keterangan dengan penguat kuasa lain seperti pihak polis dan sebagainya, namun kali ini kami tidak dibenarkan masuk,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE