fbpx

Streamer berusia 19 tahun jana pendapatan lumayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASNUR ATIQAH turut mengambil bahagian dalam Kejohanan e-Sukan Esports Integrated (ESI) Challenge Edisi Wanita yang dianjurkan secara online baru-baru ini.

SIAPA sangka aktiviti bermain permainan video yang bermula sebagai hobi untuk mengisi masa lapang menyaksikan seorang gadis berusia 19 tahun mampu menjana pendapatan ribuan ringgit menerusi penstriman dalam laman sosial Facebook.

Asnur Atiqah Mohd. Saiful Annuar yang terkenal dengan gela­ran Charlie, secara rasmi ditawarkan kontrak bekerjasama dengan Facebook Gaming iaitu sebuah platform buat para streamer melakukan penstriman permainan video.

Bukan itu sahaja, malah dia mampu meraih bayaran melalui Facebook menerusi tiga sumber iaitu sokongan peminat (fan support), star dan iklan yang tidak mengganggu penstriman sedang dilakukan oleh streamer.

Asnur Atiqah menyifatkan, ia bukan perkara mudah dan terpaksa bermula dari bawah untuk mencapai tahap sehingga ditawarkan kontrak daripada Facebook Gaming.

Katanya, dorongan keluarga adalah faktor utama kerana tanpa sokongan daripada ibu ba­panya, dia tidak mampu meneruskan cita-citanya sebagai seorang streamer berjaya ketika ini.

“Penglibatan saya dalam dunia e-Sukan bermula daripada ayah dan ibu kerana mereka lihat saya minat bermain permainan video sejak masih bersekolah.

“Ayah beri cadangan supaya kembangkan minat ini menerusi streamer kerana ia mampu mengetengahkan bakat ke satu tahap lebih baik, sekali gus dikenali dalam komuniti e-Sukan.

“Saya tak sangka hobi sejak setahun lalu kini menjadi kerjaya dalam sebagai streamer e-Sukan.

“Ayah saya keluarkan modal RM3,000 untuk komputer biasa dan kini saya mampu menaiktarafnya dengan harga kira-kira RM7,000 bagi memastikan (penstriman) tiada lagi masalah,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

ASNUR ATIQAH menunjukkan permainan video Free Fire yang boleh dimainkan menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.

Streamer yang menggemari makanan laksa itu memulakan karier penstriman dengan bermain permainan video seperti Mobile Legends, Grand Theft Auto (GTA) dan Free Fire.

Dia gembira kerana dapat membantu keluarga selepas me­raih pendapatan purata RM10,000 sebulan sejak serius dalam bidang penstriman.

Dalam pada itu, Asnur Atiqah berharap golongan remaja khususnya wanita agar berani me­lakukan perubahan jika meminati bidang e-Sukan yang kini sudah dianggap sebagai satu kerjaya.

“Pesanan saya, buat betul-betul jika minat. Jangan sekadar mengikut trend kerana saya juga bermula dari bawah dan tidak pernah berharap ia berhasil dalam sekelip mata.

“Terus berusaha dan jangan malu bertanya. Saya yakin golo­ngan wanita juga mampu berjaya. Anda di luar sana juga boleh me­lakukannya,” jelasnya.

Walaupun meraih pendapatan bulanan tinggi pada usia muda, namun ia tidak pernah menggelapkan mata Asnur Atiqah, sebaliknya wang itu digunakan sebaik mungkin dengan memberi keselesaan kepada ibu bapanya dan merancang melanjutkan pelajaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI