SHAH ALAM – Komplot pembunuhan pemilik rangkaian klinik swasta dilakukan seorang kontraktor bagi mendapatkan wang membiayai kos perundangan berkaitan kes dadah dihadapinya terbongkar apabila ditahan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Perkara itu terbongkar menerusi penahanan suspek utama berusia lewat 30 an bersama empat lagi suspek berusia 22 hingga 40 tahun kira-kira pukul 4 petang pada 27 April lalu sekitar Kajang dan Ampang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa berusia 41 tahun telah menaiki kenderaan sendiri bertemu dengan suspek di sebuah restoran di Semenyih kira-kira pukul 11 pagi pada 26 April lalu.
Katanya, bagaimanapun mangsa telah diperdaya dan menaiki kereta suspek ke sebuah lokasi atas alasan perniagaan.
“Sepanjang itu juga, mangsa ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon bimbitnya kepada rakan serumahnya dan meminta dimasukkan wang syarikat berjumlah RM228,000 ke dalam akaun tidak dikenali.
“Turut menerima SMS sama adalah akauntan syarikat mangsa yang juga diarah membuat pemindahan wang namun tidak dilakukan kerana curiga terhadap SMS itu sebelum telefon bimbit mangsa gagal dihubungi,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Rententan itu, kata beliau, polis kemudiannya menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan rakan serumah mangsa berusia 36 tahun dan ahli keluarga mangsa.
Ujar Hussein, polis yang menjalankan siasatan kemudiannya berjaya menahan lima termasuk dua wanita selain merampas 12 telefon bimbit termasuk salah satu kepunyaan mangsa.
Selain itu, tiga buah komputer riba dan sebuah kereta jenis Perodua Axia milik salah seorang suspek.
“Soal siasat kemudiannya mendapati salah seorang suspek mengaku merancang dan membunuh mangsa sebelum dibuang dalam gaung setinggi 27 meter di kawasan terpencil di Hulu Langat.
“Ketika ditemui didapati mangsa yang masih lengkap berpakaian, kedua-dua tangan diikat dengan kesan jerutan tali kabel dan diletakkan dalam bagasi,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan jerutan pada leher yang menyebabkan saluran pernafasan tersekat.
“Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dan suspek utama yang merupakan kontraktor telah berkenalan sejak setahun lalu selepas membaik pulih klinik dan rumah mangsa.
“Motif kejadian adalah bagi mendapatkan harta milik mangsa. Ini kerana suspek ada masalah kewangan bagi membiayai peguam bagi kes berkaitan dadahnya sebelum mendapat idea bagi menculik, memeras dan membunuh rakannya itu,”tegasnya.
Kata Hussein, siasatan turut mendapati tiga daripada suspek terlibat secara langsung dalam kes tersebut.
“Kita percaya suspek memang berniat membunuh disebabkan persiapan telah dibuat suspek termasuk tali wayar. Suspek juga telah berjaya mendapatkan RM20,000 daripada mangsa tersebut.
“Mangsa adalah seorang yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) berkaitan perkhidmatan kesihatan dengan memiliki aplikasi pengurusan kesihatan,” katanya.
Jelas beliau, kes yang pada awalnya disiasat mengikut 385 Kanun Keseksaan kini berubah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -KOSMO!ONLINE