fbpx

Selamat berjuang wira negara di Sukan SEA Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMASYA sukan terbesar rantau Asia Tenggara, Sukan SEA 2023 bakal membuka tirai secara rasmi esok dengan Phnom Penh, Kemboja menerima giliran untuk menjadi penganjur bagi edisi ke-24 atau kali ke-32 sekiranya dijumlahkan dengan namanya sebelum ini yang dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara.

Ahad lalu, Kementerian Belia dan Sukan menerusi Menterinya, Hannah Yeoh telah mengumumkan sasaran pingat yang diletakkan terhadap kontinjen negara melibatkan 676 atlet akan bersaing pada kejohanan kali ini dalam 37 acara yang disertai.

Sasaran 40 pingat emas perlu sentiasa menjadi ingatan penting buat atlet termasuk 251 pegawai dan barisan kejurulatihan sepanjang berada di sana nanti bagi memastikan kontinjen negara pulang dengan menjulang maruah yang terbilang.

Dua tahun lalu di Vietnam, kontinjen negara pulang ke tanah air dengan penuh bergaya apabila mengumpul keseluruhan 39 pingat emas biarpun sasaran yang diletakkan sekadar 36 emas sebelum saingan bermula.

Melihat kepada prestasi di Hanoi sebelum ini, bermakna sasaran 40 pingat emas untuk edisi kali ini bukan mustahil untuk dicapai kerana harus diingat, saingan dua tahun lalu berlangsung pasca Covid-19 ketika persiapan atlet ketika itu tidak begitu sempurna.

Berbeza kali ini, segalanya sudah berjalan dengan normal, maka sasaran 40 emas tersebut masih dianggap realistik walaupun ada yang menganggapnya terlalu rendah dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) seharusnya diletak lebih tinggi untuk mencabar para atlet.

Bagaimanapun, Hannah mengakui selepas perbincangan diadakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan semua persatuan sukan, mereka bersetuju meletakkan sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa bagi aksi kali ini.

Rasionalnya, sebahagian besar atlet yang dihantar untuk meneruskan perjuangan kali ini adalah atlet-atlet muda yang kali pertama beraksi di pentas antarabangsa, maka jumlah tersebut masih dianggap boleh diterima.

Sebagai atlet baharu, Sukan SEA sering dianggap sebagai detik penting dalam karier mereka untuk melangkah lebih jauh, jadi peluang diberikan ini seharusnya digunakan sebaik mungkin dengan membulatkan tekad dan mencekalkan azam bagi melakar seberapa banyak kejutan di Kemboja nanti.

Selain keutamaan terhadap pencapaian dalam setiap kejohanan, sudah tiba masanya untuk arena sukan negara diberikan anjakan lebih signifikan dengan tidak menjadikan Sukan SEA sebagai sasaran paling utama.

Ia sewajarnya menjadi platform untuk atlet muda membuktikan keupayaan, menimba ilmu dan pengalaman, sementara ahli sukan yang sudah memiliki reputasi tidak perlu lagi dihantar semata-mata untuk meraih pingat emas.

Sebab itu, sedikit kredit mungkin perlu diberikan kepada Hannah apabila mendedahkan kedudukan Malaysia pada cara pungutan pingat tidak lagi menjadi keutamaan, sebaliknya fokus perlu diberikan untuk mencapai sasaran pingat yang diletakkan.

Apapun selamat berjuang buat atlet negara yang akan berjuang di Kemboja nanti, semoga kejayaan dicapai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI