MELAKA – Sepasang suami isteri warga emas trauma selepas terpaksa bergelut dengan dua penyamun bermotosikal di hadapan rumah mereka di Taman Megah, Klebang di sini, Sabtu lalu.
Mangsa, Gue Boon Guan, 65, berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Gan Chui Lan, 66, baru pulang ke rumah menaiki Proton Iswara sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal kira-kira pukul 10.45 malam.
Menurutnya, seorang suspek kemudian bertindak memukul cermin kereta bahagian penumpang menggunakan kayu besbol sebelum isterinya sempat keluar melarikan diri.
“Selepas itu seorang lagi suspek cuba menyerang isteri saya, namun dia sempat keluar dan mencampakkan beg tangan ke halaman rumah.
“Suspek terus memanjat pagar rumah untuk mengambil beg tangan manakala seorang lagi telah memukul saya dengan kayu besbol pada bahagian kaki kiri,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong di sini, semalam.
Tambahnya, suspek berjaya melarikan beg tangan dan dompet sebelum meloloskan diri setelah anaknya keluar rumah untuk memberi pertolongan.
Jelas Boon Guan, anggaran kerugian dialami adalah sekitar RM400, selain kecederaan pada kaki kiri dan pipi.
“Kami telah pun membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga pada malam kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, Ban Hong meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan rondaan pada waktu malam ekoran kekerapan berlakunya kes pecah rumah dan samun di Taman Megah, termasuk kawasan sekitar.
Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk yang bimbang dengan keselamatan diri memandangkan kejadian jenayah kerap berlaku di situ. – KOSMO! ONLINE