ATLET karate negara, S. Prem Kumar tidak patah semangat meskipun mengalami kecederaan patah pergelangan kaki kanan ketika menjalani sesi latihan pada minggu lalu.
Prem menyifatkan, kecederaan itu adalah perkara biasa bagi sukan tempur dan berharap ia tidak terlalu serius memandangkan dia kini giat melakukan persiapan bagi menyertai Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2021.
Atlet berusia 26 tahun itu pernah mengalami kecederaan sama pada 2018 sewaktu beraksi dalam temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia hingga memaksanya menjalani pembedahan.
“Bagi saya, tiada masalah kerana ini adalah kecederaan biasa. Saya masih menjalani latihan biasa tetapi tidak boleh melakukan latihan keras.
“Saya perlu menjalani ujian imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) dan menunggu pengesahan daripada Institut Sukan Negara (ISN) mengenai tahap kecederaan selain tempoh sebenar untuk proses pemulihan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Ketika ditanya adakah persediannya terjejas menjelang pusingan kelayakan Olimpik yang dijangka berlangsung di Paris, Perancis pada Jun tahun depan, Prem menjelaskan, ia bukan satu masalah buat dirinya jika mampu pulih dalam kadar segera.
“Saya tidak tahu tarikh sebenar kelayakan akan berlangsung kerana ketika ini situasi Covid-19 di Eropah semakin teruk. Macam-macam boleh terjadi, jadi kita tunggu sahajalah dahulu.
“Mengenai kecederaan saya, jika melakukan pembedahan sekalipun saya rasa ia tidak mengambil masa lama untuk pulih. Saya yakin mampu kembali menjalani latihan dalam tempoh sebulan sahaja,” jelasnya.