fbpx

Pelajar lelaki berlumuran darah terjatuh tingkat enam asrama universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota perubatan memberi bantuan kecemasan kepada mangsa yang jatuh dari tingkat enam kolej kediaman di Padang Besar, hari ini.

PADANG BESAR – Seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi ditemui berlumuran darah setelah dipercayai terjatuh dari tingkat enam bangunan kediaman universiti itu di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada MERS 999 kira-kira pukul tiga petang.

“Sebaik menerima panggilan, pegawai penyiasat bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa merupakan seorang pelajar lelaki tempatan berusia 24 tahun.

“Menurut saksi awal yang berada di sekitar tempat kejadian memberitahu, dia terdengar satu bunyi kuat sebelum melihat mangsa terbaring berlumuran darah di atas lantai aras bawah bangunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shokri, mangsa ketika ditemui masih dalam keadaan sedar, namun tidak boleh bergerak.

“Mangsa kemudiannya telah dibawa ke hospital menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia lalu dirawat di zon merah Hospital Tengku Fauziah di Kangar dan keadaan mangsa disahkan stabil oleh pihak hospital.

“Pihak polis yang berada di tempat kejadian telah mengambil keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan dan kami mohon kerjasama saksi lain tampil dengan cara menghubungi Sarjan Mejar Izham Aziz di talian 017-5387986,” ujarnya.

Mohd. Shokri turut memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI