fbpx

RM11.08 bilion untuk pembangunan Orang Asli di Semenanjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan, Lipis hari ini.

LIPIS – Kerajaan memberikan jaminan akan menyediakan kemudahan bekalan air, elektrik dan perumahan bagi masyarakat Orang Asli di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak RM11.08 bilion telah diperuntukkan untuk pembangunan di perkampungan Orang Asli agar mereka berpeluang menikmati pelbagai kemudahan dalam sektor ekonomi dan pendidikan.

“Kerajaan akan memberikan keutamaan kemudahan bekalan air dan elektrik serta pembinaan rumah yang tersusun supaya mereka berpeluang serta selesa bekerja dan menikmati pembangunan ekonomi setempat.

“Menerusi peruntukan yang besar ini, kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga tetap memberikan kemudahan pendidikan kepada anak Orang Asli khususnya supaya mereka juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dan luar negeri,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyasarkan sekurang-kurangnya 400 orang pelajar Orang Asli dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tahun ini.

“Bagi pelajar yang berjaya diterima masuk ke universiti, kerajaan akan memberikan inisiatif sebanyak RM1,000 setiap seorang sebagai galakan atas kejayaan tersebut.

“Saya yakin di bawah pengurusan dan pemantauan Ketua Pengarah Jakoa, Sapiah Mohd Nor sasaran berkenaan tercapai berbanding seramai 300 orang pada tahun sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, KKDW juga melantik Timbalan Speaker Dewan yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor menumpukan perancangan pendidikan Orang Asli dengan kerjasama Jakoa untuk melahirkan lebih ramai pelajar kaum berkenaan melanjutkan pelajaran ke universiti luar negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI