JAKARTA – Gara-gara cemburu selepas membaca mesej perbualan isteri dengan lelaki lain dalam telefon bimbit, seorang suami menikam isterinya menggunakan sebilah belati, lapor laman berita Kontras kelmarin.
Suspek yang hanya dikenali sebagai RD, 37, dari Hulu Sungai Utara, wilayah Kalimantan Selatan didakwa menikam mangsa, HL, 31.
Menurut Ketua Polis Tabalong, Ajun Komisioner Besar Polis (AKBP) Anib Bastian, kejadian pada Selasa minggu lepas itu berlaku ketika mangsa dan anaknya sedang berehat di rumah sambil tidur di ruang rehat.
“Pelaku ketika itu sedang memeriksa telefon bimbit isterinya. Dia kemudian menghampiri mangsa sambil memegang sebilah belati lantas menikam punggung mangsa berkali-kali,” kata Anib seperti dipetik oleh Ketua Perhubungan Awam, Iptu Sutargo.
Tambahnya, berdasarkan pemeriksaan perubatan, mangsa mengalami 15 luka kesan tikaman di bahagian punggung, dua tikaman di bahagian lengan kanan, dua tikaman di lengan kiri dan satu tikaman di leher.
Tambah Iptu, ketika disoal siasat, suspek mengaku mengesyaki mangsa berlaku curang kepadanya kerana wanita itu sukar untuk dihubungi sepanjang bulan lepas.
“Ketika suspek memeriksa telefon bimbit mangsa, dia melihat ada pesanan ringkas daripada lelaki lain, yang menyebabkan dia berasa cemburu lalu menikam mangsa,” jelasnya.
Suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tanjung sementara menanti hukuman dijatuhkan. – Agensi