RANTAU PANJANG – Penduduk di sekitar pekan Rantau Panjang di sini mendakwa mereka melihat lebih 20 trak pikap beratur dan menunggu giliran untuk mengisi diesel di empat buah stesen minyak setiap pagi.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Nasir, 50, berkata, kegiatan itu sukar dibendung kerana jumlah penyeludup ramai berkeliaran di kawasan stesen minyak.
Katanya, trak-trak pikap itu masuk secara halal ke negara ini apabila mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk melepasi sempadan.
“Saya lihat, pihak berkuasa tidak dapat membezakan sama ada mereka masuk ke negara ini untuk melancong atau menyeludup diesel.
“Kumpulan penyeludup juga tidak akan terus pulang ke Thailand selepas mengisi diesel. Sebaliknya, mereka akan duduk di kawasan kedai makan atau restoran selepas melakukan kegiatan tersebut,” katanya.
Nasir memberitahu, ada antara penyeludup sanggup bergerak ke stesen minyak di Tumpat atau Pasir Mas yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengisi diesel ke dalam tangki kenderaan mereka.
Katanya, ini kerana ada stesen minyak di sekitar Rantau Panjang mengehadkan isian diesel sebanyak 10 liter kepada kenderaan asing dan tidak berkompromi dengan penyeludup.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Azhar, 41, berkata, penyeludup akan menggunakan pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang untuk menyeludup diesel sekiranya tidak melalui laluan darat.
Menurutnya, kaedah tersebut jarang digunakan oleh penyeludup kerana mereka perlu mengisi diesel ke dalam banyak tong yang dimuatkan dalam kenderaan mereka sebelum dibawa ke pangkalan haram di Sungai Golok.
“Apabila banyak tong minyak di dalam trak pikap, ia sekali gus memudahkan orang ramai atau pihak berkuasa mengesan kegiatan penyeludupan.
“Oleh itu, mereka lebih sanggup berulang-alik melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand dengan mengisi diesel ke dalam tangki minyak yang sudah diubah suai,” katanya.