BIRMINGHAM – Pengurus Aston Villa, Dean Smith bimbang dengan ancaman dua penyerang Southampton, Danny Ings dan Che Adams menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Perdana Inggeris (epl) di Villa Park malam ini.
Kecemerlangan duo serangan itu menyaksikan Southampton hanya tewas tiga perlawanan sejak saingan bola sepak di England kembali diteruskan pada Jun lalu, selain berjaya meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu liga ketika ini, Everton.
Bukan itu sahaja, Ings dan Adams juga telah menjaringkan enam gol dan mencipta empat gerakan antara mereka berdua dalam semua enam perlawanan buat skuad Ralph Hasenhuettl tersebut ketika ini.
“Southampton ada dua penyerang yang boleh menjaringkan gol. Keserasian mereka berdua adalah salah satu kekuatan utama Southampton musim ini.
“Mereka juga bermain dengan baik bertemu Everton minggu lalu, selain memainkan peranan penting dalam kebangkitan ketika seri 3-3 menentang Chelsea sebelum ini. Jadi, kami tidak boleh memandang rendah perkara ini,” kata Smith.
Justeru, pengendali berusia 49 tahun itu menggesa anak-anak buahnya agar menampilkan prestasi lebih memberangsangkan berbanding ketika tewas 0-3 kepada Leeds United hasil ledakan hatrik Patrick Bamford minggu lalu.
“Kami bermain dengan baik musim ini sebelum tewas dalam tempoh 40 minit kepada Leeds. Saya harap semangat pemain tidak luntur dan cuba mencari kemenangan supaya dapat menebus kekalahan itu,” jelasnya. – AGENSI