WALAUPUN tidak dapat membawa pulang gelaran juara Asia, namun aksi beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin wajar diberikan pujian apabila sudah melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC).
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) malam kelmarin, gandingan No. 8 dunia itu tewas 21-16, 17-21, 19-21 kepada wakil India, Chirag Shetty-Sakwiksairaj Rankireddy.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk menyaksikan beregu lelaki muncul juara Asia selepas kali terakhir dilakukan oleh gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2007.
Jurulatih Ee Yi-Yew Sin, Rosman Razak tetap bangga dengan pencapaian dilakar anak-anak buahnya itu meskipun mengakui, masih ada beberapa kelemahan yang menjadi punca kepada kekalahan mereka.
“Pertama sekali, saya memohon maaf kepada seluruh peminat sukan tanah air kerana kami tidak dapat realisasikan harapan tersebut untuk membawa pulang gelaran. Terima kasih untuk sokongan anda sepanjang kejohanan ini berlangsung.
“Dalam perlawanan akhir, kunci utama perlawanan adalah aksi di depan jaring serta kualiti pukulan. Kami tidak terlalu konsisten, terutamanya ketika melakukan pukulan dari tengah gelanggang.
“Bagaimanapun, saya tetap bangga dengan Ee Yi-Yew Sin kerana mereka langsung tidak kenal erti putus asa dalam setiap perlawanan.
Mereka sentiasa berikan aksi 100 peratus setiap kali melangkah masuk ke gelanggang, untuk memburu kemenangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, beliau juga berharap Ee Yi-Yew Sin akan terus kekal positif untuk aksi berikutnya walaupun tidak dapat menjadi juara Asia kerana mereka akan berdepan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula Mei ini.