fbpx

Sukan SEA: Nauraj tidak beraksi temasya di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAURAJ mengalami kecederaan ketika aksi persiapan di Greece dan tidak sempat pulih untuk aksi ke Sukan SEA Kemboja.

KEM olahraga negara ‘kehila­ngan’ satu pingat emas Sukan SEA Kemboja apabila pemegang rekod lompat tinggi kebangsaan, Nauraj Singh Randhawa sah tidak beraksi pada temasya di Phnom Penh itu.

Ketiadaan Nauraj pastinya memberikan tamparan besar kepada kontinjen negara memandangkan dia adalah prospek emas Malaysia berdasarkan statusnya sebagai juara tiga Sukan SEA dari 2013 hingga 2017.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zaki Sadri menjelaskan, Olimpian negara itu mengalami kecederaan dalam persiapannya di Greece dan tidak sempat pulih sebelum acara olahraga membuka tirai di Stadium Nasional Morodok Techo pada 6 Mei ini.

“Pada awalnya memang kita senaraikan Nauraj dalam kategori A, tetapi selepas pengesahan daripada doktor, kecederaan dialaminya tak sempat pulih sebelum ke Sukan SEA.

“Dia alami kecederaan itu dalam salah satu ‘trial’ persediaan­nya yang kita atur di Greece. Ia satu tamparan buat kita kerana masalah kecederaan ini di luar kawalan kita.

“Namun, saya percaya penggantinya dan seorang lagi atlet lompat tinggi negara mampu mencipta kejutan di Sukan SEA nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

KOM menyenaraikan Farrell Glenn Felix Julius untuk kategori B bagi menggantikan tempat Nauraj, menggalas cabaran negara bersama Mohamad Eizlan Dahalan yang merupakan pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam tahun lalu.

Sebagai rekod, Malaysia me­nguasai acara lompat tinggi di rantau Asia Tenggara sejak edisi Sukan SEA 2001 sehinggalah dominasi itu dipecahkan oleh atlet Thailand, Kobsit Sittichai di Hanoi tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI