fbpx

Bekalan kurang, kedai runcit hadkan penjualan gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang peniaga menunjukkan bekalan gula peket yang habis di premisnya di Melor, Kota Bharu sejak beberapa hari lalu.

KOTA BHARU – Rata-rata pengguna di daerah ini mendakwa sukar untuk membeli gula apabila kebanyakan kedai runcit dan kedai borong mengehadkan jualan bekalan itu selepas seminggu Hari Raya Aidilfitri.

Kebanyakan kedai runcit juga memilih kaedah menjual gula secara timbang dan pengguna hanya boleh membeli sekilogram bahan itu pada harga RM4.30, iaitu lebih mahal berbanding gula peket yang dijual RM2.95.

Seorang penduduk, Yah Zin, 55, berkata, dia sukar untuk mencari gula di beberapa kedai runcit di daerah ini sejak seminggu lalu apabila pemilik premis memaklumkan mereka kehabisan stok.

Bagaimanapun, dia terkejut melihat ada pelanggan dapat membeli gula di premis terbabit.

“Saya ada bertanyakan kepada peniaga terbabit dan dia memaklumkan gula hanya dijual kepada pe­langgan tetap,” kata­nya kepada Kosmo! di Melor di sini semalam.

Yah memberitahu, selain gula peket, ada peniaga yang menjual gula secara timbang di dalam guni seberat 50 kilogram.

Menurutnya, dia terpaksa membeli gula meskipun mahal kerana tiada pilihan lain.

“Difahamkan, bekalan gula di dalam guni itu tiada subsidi kerajaan.

“Disebabkan itu, peniaga boleh menjualnya pada harga yang mahal berbanding gula peket.

“Sebagai pengguna, saya tiada pilihan lain apabila hanya boleh membeli gula timbang kerana itu sahaja yang ada di pasaran,” ujarnya.

Seorang pengusaha kedai makan di Melor, Mami Mat, 67, pula memberitahu, dia hanya dibenarkan membeli tiga peket gula kerana bukan pelanggan tetap di premis terbabit.

Menurutnya, dia difahamkan hanya pelanggan tetap boleh membeli stok yang banyak sehingga 10 peket gula.

“Saya rasa stok gula banyak di premis mereka, tetapi peniaga mengawal jualan ekoran khuatir bekalan akan kehabisan selepas musim perayaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI