fbpx

K2

Komuniti berhati mulia menabur bakti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI TTC menyampaikan sumbangan kepada penduduk Orang Asli di Sungai Buloh.

MAKANAN dan minuman mampu menyatukan kita semua tanpa mengira agama, bangsa atau fahaman politik.

Disebabkan makanan dan minuman jugalah sekumpulan penduduk di Taman Tadisma, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor dapat bersatu sehingga tertubuhnya kelab Tea Tarik Club (TTC).

Menariknya, tujuan TTC ditubuhkan adalah untuk melakukan aktiviti sosial dalam usaha meringankan beban masyarakat setempat.

Pengerusi TTC, Zulrushdi Mohamad berkata, kumpulan sosial tersebut asalnya adalah kelompok penduduk Taman Tadisma yang sering melepak berbincang pelbagai isu semasa.

“Kebiasaannya, kami berkumpul minum teh tarik pada sebelah pagi pada hujung minggu atau sebelah malam di kedai,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Zulrushdi yang juga seorang kontraktor sistem telekomunikasi berkata, ketika sesi minum teh tarik, dia dan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang kerjaya akan berkongsi kisah hidup masing-masing.

“Biasanya, kami bersembang perkara yang ringan-ringan yang tidak memeningkan kepala.

“Ada yang bercerita tentang peluang bisnes dan Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Ada ketikanya, kami borak mengenai masalah dunia sehinggalah isu politik negara.

“Sehinggalah pada satu hari tercetus idea untuk kami melakukan kerja kebajikan atas nama TTC,” katanya.

Jelasnya lagi, keadaan sosioekonomi semasa menyebabkan ada golongan yang memerlukan bantuan untuk meneruskan hidup.

SEBAHAGIAN ahli TTC bergambar kenangan selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk Orang Asli di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Tambah Zulrushdi, semasa pandemik Covid-19, dia dan penduduk Taman Tadisma telah mula membantu keluarga yang memerlukan.

Ujarnya, ketika itu, ramai yang hilang pekerjaan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, kami kumpulkan bakul barang makanan asas untuk diagihkan kepada penduduk setempat dan kawasan luar.

“Kerja kebajikan ini kami teruskan sehingga kini dan terbaru di perkampungan Orang Asli di Sungai Buloh,” katanya.

Menariknya, program sumbangan di perkampungan Orang Asli itu turut disertai anggota keluarga ahli TTC.

Zulrushdi yang aktif sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa sekolah sekitar Shah Alam berkata, TTC kini masih aktif menganjurkan program kebajikan dengan memberi sumbangan makanan pada setiap Jumaat.

Program dikenali sebagai Sedekah Jumaat itu bertujuan memberi sumbangan makanan kepada penghantar Grab, pengawal keselamatan, pelajar-pelajar dan ahli kariah di kawasan tersebut.

“Kami tahu selepas pandemik Covid-19, masyarakat tidak kira sama ada golongan B40 dan M40 menghadapi masalah kewangan.

“Tidak hairanlah ramai yang memohon untuk mengeluarkan wang persaraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Disebabkan itu, kami dalam persatuan bergabung idea dan wang untuk membantu semua golongan sejak dua tahun lalu sehingga kini.

“Ini kerana ekonomi rakyat masih belum benar-benar pulih,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zulrushdi berharap program kebajikan yang dianjurkan oleh TTC akan berkekalan sampai bila-bila.

Tambahnya lagi, sempena Ramadan kali ini beberapa program telah diadakan bagi mengimarahkan bulan mulia tersebut.

“Apa yang pasti ahli-ahli TTC akan terus berbakti kepada masyarakat pada setiap masa. Insya-Allah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI