PUTRAJAYA – Kerajaan bertekad dan beriltizam untuk terus membela nasib golongan pekerja termasuk menjaga kebajikan dan memelihara hak keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan sosial pekerja termasuk ahli keluarga.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, menyedari pentingnya peranan pekerja sebagai penentu aras produktiviti, sambutan Hari Pekerja diteruskan bagi menghargai sumbangan golongan pekerja terhadap pembangunan ekonomi negara.
Katanya, tanpa pekerja di negara ini, segala perancangan kerajaan di bawah agenda Malaysia Madani pasti tidak akan menjadi kenyataan.
“Golongan pekerja diseru untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terkini dan meningkatkan kompetensi agar relevan dan kekal berdaya saing dalam sektor pekerjaan yang semakin mencabar.
“Ini penting bagi memastikan kumpulan pekerja yang tersedia adalah mereka yang boleh menyahut cabaran industri dan sentiasa bersedia membuat perubahan selaras dengan pekembangan semasa industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pasaran buruh.
“Ia juga akan membolehkan Malaysia mencapai sasaran memiliki kumpulan tenaga kerja mahir sebanyak 35 peratus menjelang tahun 2030,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Sambutan berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada majlis berkenaan juga, Anwar turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 juta masing-masing kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MUTC) dan Kongres Kesatuan Sekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk memperkemaskan pengurusan badan supaya lebih cekap. – KOSMO! ONLINE