fbpx

Kos bahan asas naik, harga lemang melonjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosnani ditemui di gerai jualan lemangnya di Pantai Angkasa,Lembah Pantai semalam.

PETALING JAYA – Kebanyakkan peniaga lemang mendakwa terpaksa menaikkan harga menu wajib hari raya itu antara RM1 sehingga RM2 sebatang pada tahun ini berikutan peningkatan kos bahan asas terutama santan, beras pulut dan buluh.

Seorang peniaga lemang di Pantai Angkasa, Lembah Pantai dekat sini, Norhayati Naim, 57, berkata, dia tidak dapat mengekalkan harga lemang se­perti tahun lalu kerana berdepan kerugian berikutan kenaikan harga bahan asas tersebut.

“Harga beras pulut pun sudah meningkat daripada RM100 seguni kepada RM120.

“Kalau tahun lepas saya boleh jual lemang pada harga RM18 sebatang, tetapi kini RM20 sebatang. Bukan saya seorang yang terpaksa naikkan harga, malah peniaga lain pun sama,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Seorang lagi peniaga lemang, Nik Mohd. Akib Nik Mustapa, 39, mendakwa, harga buluh lemang yang mahal juga antara faktor menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan.

“Buluh lemang bukan sahaja mahal, malah sukar untuk kita dapatkan bekalan.

“Penjual buluh pun sudah main harga sejak dua tahun lalu. Tahun ini harga buluh ada yang mencecah RM1.40 ke RM2.50 sebatang bergantung pada saiz dan kualitinya.

“Lagipun, hanya beberapa negeri yang bekalkan buluh antaranya Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kedah. Kos penghantaran juga sudah meningkat sedikit,” ujarnya.

Walaupun harga lemang me­ningkat, Nik Mohd. Akid berkata, hasil jualan di gerainya tidak menurun, malah jumlah pembe­lian ada sedikit peningkatan.

Katanya, lemang tetap menjadi pilihan terutamanya ketika musim rumah terbuka yang sudah bermula minggu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI