fbpx

Kata duit kurang, tapi ramai borong mercun raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Ramadan dan Aidilfitri kali ini kalau tak silap, yang kedua pascapandemik.

Dua bulan utama umat Islam 2023 itu digarap keluh kesah pengguna dan peniaga.

Saban hari Ramadan lalu, media sosial sarat dengan luahan orang ramai bahawa harga makanan dan barang ‘meroket’ khususnya di bazar Ramadan.

Ramai ‘naik angin’ apabila tiga biji karipap yang kata mereka, berinti oksigen, dijual pada harga RM2, sementara roti John calit telur, ayam atau daging dari harga RM7 naik kepada RM10 serta bermacam aduan lagi. Inti patinya, ramai mengaku terbeban dek harga dan kos sara hidup yang mencanak.

Bukan sahaja pengguna, hatta peniaga bazar Ramadan dan barangan hari raya juga resah. Mereka berkata, orang ramai memang membanjiri bazar-bazar Aidilfitri tetapi sekadar untuk cuci mata.

Pembeli pula mengadu terkesima melihat harga pakaian seperti baju kurung mencecah RM100, lantas membantut hasrat untuk membelinya.

Tahun ini menyaksikan ramai orang cenderung membeli baju dan barangan raya menerusi jualan online terutamanya menerusi TikTok kerana kata mereka, harganya jauh lebih murah.

Namun, orang ramai yang ‘sakan’ membeli mercun dan buga api mengundang paradoks. Aidilfitri pada tahun ini persis pesta bunga api.

Tinjauan penulis di beberapa gerai mercun menyaksikan rata-rata, pembeli berbelanja sekurang-kurangnya RM100 untuk barangan itu.

Semasa raya pula, media sosial seperti TikTok disajikan dengan kandungan rakyat marhaen membakar mercun dan bunga api. Banyak paparan menampilkan bunga api dalam kotak berharga ratusan ringgit, malah ada yang mencecah ribuan ringgit.

Tidak kurang juga paparan bunga api yang penulis gelar mercun Musudang sempena gelaran untuk misil balistik Korea Utara, Hwasong 17.

Bunga api ini meluncur tinggi ke udara dan mengeluarkan hujan bunga api yang indah.

Dengar kata, mercun ini sahaja berharga puluhan ribu ringgit.

Melayari media sosial , tiada pula keluh kesah yang kecewa kerana mercun dan bunga api telah naik harga. Banyak jenis bunga api yang sama dijual pada harga lebih tinggi sekarang. Ada juga bunga api seperti mercun gasing yang pada hemat penulis, tidak berbaloi untuk dibeli.

Menyoroti lagi, sebuah tempat di utara Semenanjung menyaksikan pesta bunga api yang dikhabarkan ‘tiada tandingan’ walaupun ramai penduduk di situ dikatakan tergolong kategori B40.

Komen di laman TikTok bagi justifikasi pembelian mercun dan bunga api adalah pembelian ini setahun sekali dan demi kemeriahan kanak-kanak kerana Aidilfitri hambar tanpanya, walhal ramai yang bermain bunga api ini adalah ‘bapak budak’.

Di sebalik keluhan barang mahal dan kos tinggi, rakyat Malaysia rupanya masih mempunyai banyak wang untuk membeli mercun dan bunga api yang sudah menjadi ‘keperluan’, setiap kali hari raya tiba.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI