GERIK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar diesel bersubsidi ke negara jiran dengan tertangkapnya dua beranak warga Thailand semalam.
Kedua-dua lelaki berusia 58 dan 24 tahun itu diberkas ketika pemeriksaan di pos kawalan pintu masuk sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada pukul 9.15 malam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tangkapan terhadap dua beranak itu adalah hasil pemantauan dan risikan dijalankan di sekitar stesen minyak di Pengkalan Hulu.
Katanya, berdasarkan pemantauan, dua beranak menaiki kenderaan pacuan empat roda itu akan membeli minyak diesel dengan had kuantiti 20 liter bagi sekali pembelian sebelum membuat pembelian seterusnya di stesen minyak lain.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebanyak 70 liter minyak diesel berada di dalam tangki kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, kenderaan dan minyak diesel tersebut telah disita dan kedua-dua warga Thailand tersebut ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM50,150.50. Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE