Saudara Pengarang,
Saya ingin meluahkan sedikit perasaan tidak puas hati kepada segelintir peniaga semasa musim perayaan.
Hal ini terjadi apabila saya ada membuat tempahan beberapa jenis hidangan untuk majlis rumah terbuka pada hari raya kedua baru-baru ini.
Saya menempah sate untuk dihidangkan para tetamu pada hari tersebut menerusi seorang penjual.
Malangnya, menu itu sampai dalam keadaan berbau masam dan basi.
Selain itu, ia juga sejuk seolah-olah datang dari peti sejuk, sedangkan sehari sebelum kejadian, peniaga memberitahu, sate itu akan dibakar sebelum dihantar.
Ratusan sate yang ditempah terpaksa dibuang begitu sahaja kerana sudah basi dan tidak sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu, bimbang jika berlaku keracunan makanan.
Lebih malang, peniaga pula tidak mahu bertanggungjawab atas kecuaiannya. Mesej dan panggilan dibuat tidak berjawab.
Inilah perangai peniaga kita, tidak jujur dalam urusan jual-beli dan hanya memikirkan keuntungan sahaja.
Berkatkah rezeki anda dapat itu dengan cara menipu pelanggan dan sudah berapa lama anda memberi makan keluarga dengan ‘wang haram’.
Pembeli Sate Kecewa
Machang, Kelantan