fbpx

Keyakinan Pahang kembali memuncak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMAMPUAN penyerang Pahang, Faisal Abdul Halim (depan) terus menjadi pertaruhan skuad Tok Gajah dalam saingan Piala Malaysia musim ini. - PAHANG FA

KUALA LUMPUR – Bekas juara empat kali, Pahang mampu kembali digeruni selepas dikatakan tidak lagi dibelenggu masalah kecederaan pemain menjelang sepak mula Piala Malaysia yang akan membuka tirainya pada 6 November ini.

Sehubungan itu, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui, tidak gentar diundi bertemu mana-mana pasukan sekalipun pada majlis undian Piala Malaysia esok.

“Saya tidak bimbang dengan kedudukan kami diletakkan dalam balang B yang mungkin terpaksa bertemu dengan beberapa pasukan pilihan di pusingan awal.

“Tempoh rehat sekarang ini dimanfaatkan sepenuhnya apabila hampir semua pemain utama Pahang semakin hampir mencapai tahap kecergasan terbaik. 

“Jadi, saya tidak kisah siapa sahaja lawan kami kerana Pahang boleh memberi saingan kepada semua pasukan jika hari itu setiap pemain berada pada tahap terbaik,” katanya.

Skuad Tok Gajah terpaksa akur berada dalam balang B apabila menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan ketujuh selepas mengharungi kebanyakan aksi musim ini tanpa kehadiran ramai pemain utama disebabkan masalah kecederaan.

Ia menyaksikan Pahang mungkin boleh diundi bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim atau lima pasukan Liga Super iaitu Kedah, Terengganu FC, Perak, Selangor dan UiTM FC selain dua daripada Liga Premier, Pulau Pinang serta Kuala Lumpur.

Jika Pahang kembali mendapat sentuhan pemain-pemain terbaiknya, tidak mustahil anak-anak buah Dollah mampu mengulangi prestasi terbaik seperti muncul juara dua kali berturut-turut pada edisi 2013 dan 2014. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI