fbpx

Afiqah buat lima kerja sambilan sehari di kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFIQAH tidak pernah mengabaikan kuliah, meskipun sibuk dengan aktiviti luar dan bekerja sambilan.

MELAKUKAN kerja sambilan bagi menambah duit poket ketika berada di kampus bukanlah sesuatu yang janggal buat mereka bergelar pelajar.

Itu juga dilakukan oleh gadis cantik berusia 24 tahun ini apabila dia melakukan lebih daripada satu kerja sambilan meskipun memiliki jadual harian yang padat.

Gadis dikenali sebagai Nurul Kamalia Afiqah Mohd. Kamaruzaman itu berkata, dia mula melakukan kerja sambilan sejak semester satu ketika mengambil kursus Diploma Sains di universiti.

Ujarnya, tujuan utama dia bekerja sambilan adalah untuk membeli barangan keperluan tanpa perlu menyusahkan ibu bapa.

“Sebenarnya, ibu bapa saya tidak tahu saya buat banyak kerja sambilan ketika awal-awal masuk ke UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) bagi menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Matematik dengan Pendidikan.

“Walaupun setiap hari saya berhubung dengan keluarga, tetapi saya tidak pernah beritahu mereka.

“Pada saya, apa yang penting adalah memastikan setiap semester saya mendapat keputusan terbaik.

“Jadi, ibu bapa saya tidak syak akan apa-apa. Setiap kali mereka tanya saya ada duit belanja atau tidak, saya selalu cakap ada serta jangan risau,” kongsi gadis yang mesra disapa Afiqah itu.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, sebelum ini, kehidupan mereka sekeluarga agak senang memandangkan ibunya menguruskan sebuah perniagaan.

Cerita Afiqah, perniagaan ibunya mula merosot sejak dua tahun lalu ketika negara dibadai pandemik Covid-19, sebelum akhirnya terpaksa ditutup.

Ujarnya lagi, disebabkan itu, segala tanggungjawab mencari rezeki dipikul oleh ayahnya seorang diri.

AFIQAH juga melakukan bisnes menjual ‘aiskrim Malaysia’ di dalam kampus.

Tambahnya lagi, sebelum mendaftar masuk pengajian beberapa tahun lalu, dia ada terdengar perbualan antara ibu bapanya tentang keadaan kewangan keluarga mereka.

“Dari situ, saya faham ekonomi keluarga tidak berada dalam keadaan baik.

“Jadi, saya niat mahu membantu keluarga dengan tidak meminta duit perbelanjaan daripada mereka.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh tumpukan perbelanjaan untuk adik-adik saya yang lain.

“Saya bekerja di lima tempat berbeza usai tamat kuliah pada setiap hari. Habis sahaja kelas, saya akan bekerja di sebuah kafe berdekatan dengan kolej.

“Selepas itu di kedai percetakan dan yang ketiga di kedai percetakan juga, namun di lokasi lain.

“Seterusnya, saya bergegas ke pejabat di kolej melakukan kerja-kerja filing, sebelum bekerja sambilan di kiosk minuman,” ujarnya.

Mengakui penat dengan rutin hariannya, anak jati Kemaman, Terengganu itu tidak pernah mengeluh dengan apa dilaluinya ketika ini.

“Walaupun sibuk bekerja, namun saya tidak pernah abaikan kuliah.

“Bagi memastikan jadual harian berjalan lancar, saya akan siapkan setiap tugasan lebih awal sebelum tarikh penghantaran,” katanya.

Dedah Afiqah lagi, sepanjang bekerja sambilan, dia berjaya mengumpul wang untuk dijadikan modal melakukan bisnes secara kecil-kecilan di kampus.

“Dalam tempoh dua minggu bekerja, saya boleh kumpul RM500 untuk semua kerja yang saya buat.

“Saya simpan di ASB (Amanah Saham Berhad) dan kongsi dengan adik. Selebihnya saya guna untuk buat bisnes ‘aiskrim Malaysia’.

“Tetapi bisnes ini saya buat selang-seli kerana penat dan tidak cukup masa.

“Sebatang aiskrim saya jual RM1 dan hasilnya itu saya buat belanja makan dan minum di kampus,” katanya yang aktif dalam aktiviti sukarelawan serta silat di kampus.

Mengakhiri perkongsian, Afiqah turut bersyukur apabila percubaannya secara suka-suka menjadi penyampai radio sambilan tercapai apabila dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Cek Mek Molek Tati anjuran stesen radio Molek FM.

Menerusi kemenangan tersebut, Afiqah membawa pulang kontrak bernilai lebih RM30,000, sekali gus bergelar penyampai radio sambilan di stesen radio swasta itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI