TOKYO – Majlis perbandaran Toyoake, Jepun secara rasmi membenarkan para pekerja bandar itu membawa anak ke tempat kerja apabila terpaksa menjaga mereka dalam keadaan tidak dijangka, lapor akhbar The Mainichi semalam.
Pihak berkuasa bandar itu akan memperkenalkan sistem dinamakan Bekerja dengan Kanak-Kanak secara rasmi esok. Ia seterusnya bakal melancarkan sistem sokongan pada tahun 2024 bagi mewujudkan persekitaran untuk pekerja sektor swasta membawa anak-anak mereka ke tempat kerja.
Sistem Bekerja dengan Kanak-kanak itu menyasarkan anak dan cucu dari bawah umur setahun hingga gred ketiga.
Program itu boleh digunakan dalam situasi kecemasan seperti penutupan sementara pusat jagaan kanak-kanak. Selain itu, ia juga diguna pakai ketika datuk, nenek atau pasangan yang biasanya menjaga kanak-kanak itu tidak sihat atau sedang bertugas.
Bagaimanapun, membawa anak yang sakit ke tempat kerja adalah dilarang. Pekerja dalam bidang penjagaan kanak-kanak juga tidak dibenarkan menggunakan sistem tersebut.
Seramai 23 pekerja di kawasan perbandaran itu telah menggunakan sistem percubaan tersebut dari 6 Mac hingga 7 April lalu dengan dalam satu kes, seorang pekerja ditemani oleh tiga anak.
Dalam tinjauan selepas percubaan dengan kadar tindak balas 34 peratus, sebanyak 70 peratus rakan sekerja mengakui mereka tidak kisah rakan membawa anak ke pejabat. – Agensi