fbpx

Masalah kesihatan antara faktor bakal jemaah haji tangguh tawaran tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUDDIN HARUN (tiga dari kiri) dan Nurrin Anuwar (kanan) menyerahkan beg kepada sebahagian bakal jemaah haji pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Perdana Haji Negeri Sembilan 1444H/2023M di Dewan Tuanku Canselor, USIM di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

SEREMBAN – Masalah kesihatan yang dialami antara faktor terdapat individu yang ditawarkan untuk menunaikan haji pada tahun ini terpaksa menangguhkan tawaran yang diterima mereka itu.

Pengurus Besar Pengurusan Haji, Lembaga Tabung Haji, Nurrin Anuwar Shamsuddin berkata, ia selepas Kementerian Kesihatan dan Tabung Haji masih mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan seperti musim haji yang lalu.

Kata beliau, ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan semua bakal jemaah haji Malaysia berada pada tahap kesihatan yang baik daripada segi fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.

“Ramai individu bakal jemaah haji yang ditawarkan terpaksa menangguhkan tawaran diterima mereka disebabkan seperti faktor kesihatan dan faktor kewangan. Selain itu ada juga bakal jemaah yang terpaksa menangguhkan tawaran disebabkan ada urusan belajar.

“Kami masih mengekalkan tahap kesihatan yang tinggi kepada bakal jemaah haji. Sebagai contoh, ada bakal jemaah yang menghidap penyakit kencing manis dan tidak lulus pemeriksaan kesihatan untuk menunaikan haji. Ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental maka aspek kesihatan harus dititik beratkan oleh semua bakal haji bermula di tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Perdana Haji Negeri Sembilan 1444H/2023M di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, menurut Nurrin Anuwar lagi, pemeriksaan kesihatan yang dilakukan adalah satu langkah positif agar semua jemaah haji Malaysia mempunyai tahap kesihatan baik kerana ibadat haji melibatkan jutaan jemaah dari seluruh dunia.

“Jika sebelum ini, pihak Kerajaan Arab Saudi telah menghadkan usia 65 tahun untuk menunaikan haji sewaktu Covid-19 namun pada kali ini kami mengekalkan kriteria yang ketat itu bagi membolehkan mereka yang berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun sihat tubuh badan dan sudah menerima vaksinasi penuh.

“Kriteria itu telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan mengambil kira kriteria Kementerian Kesihatan Arab Saudi,” katanya yang memberitahu seramai 31,600 orang bakal jemaah haji dari Malaysia akan menunaikan haji menerusi 100 penerbangan ke Jeddah dan Madinah dengan penerbangan pertama bermula 21 Mei ini. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI