BRIGHTON – Pengurus Brighton, Roberto De Zerbi menghamburkan pujian terhadap barisan pemainnya selepas mereka membelasah Wolverhampton Wanderers 6-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, Brighton menampilkan aksi memukau apabila Deniz Undav, Pascal Gross dan Danny Welbeck masing-masing menjaringkan dua gol bagi terus menghidupkan peluang mereka beraksi di pentas Eropah musim depan.
De Zerbi tanpa berselindung mengakui, beliau langsung tidak terkejut dengan aksi ditampilkan barisan pemainnya kerana tahu kemahuan mereka untuk melayakkan diri ke kancah bola sepak Eropah.
“Saya tidak terkejut dengan kemenangan besar ini, semua pemain menampilkan aksi cukup baik. Saya sangat bertuah untuk berada di sini, dikelilingi pemain-pemain yang sanggup berjuang demi pasukan.
“Ini adalah aksi terbaik saya sejak bergelar jurulatih. Dengan prestasi sekarang, saya fikir kami memang layak untuk capai sasaran iaitu beraksi di pentas Eropah pada saingan musim depan,” katanya.
Tambah beliau, kemenangan itu sedikit sebanyak mengubat luka mereka selepas tewas kepada Manchester United pada aksi separuh akhir Piala FA selain dikalahkan Nottingham Forest dalam saingan liga.
“Dalam dua perlawanan terdahulu, kami berdepan sengsara kerana tewas kepada Manchester United dan Nottingham. Sekarang semua pemain sudah lupakan kekalahan itu dan hanya pandang ke hadapan,” ujar De Zerbi. – AGENSI