KOTA BHARU – Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan aksi ‘wheelie’ semasa menunggang sebuah motosikal di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Peringat pada 1 Syawal lalu.
Tertuduh yang berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 dengan cara mengangkat tayar depan yang berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Kesalahan itu dilakukan olehnya kira-kira pukul 12 tengah hari di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di sini pada 22 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala remaja tersebut diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Zaimah Mohamed.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM900 dengan seorang penjamin selain menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semuka kes dan laporan akhlak.
Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki direman tiga hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat melakukan aksi ‘wheelie’ semasa menunggang sebuah motosikal.. – KOSMO! ONLINE.