PETALING JAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi mendakwa Parti Amanah Negara (Amanah) menghina budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Ia ekoran tindakan Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan pengampunan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dakwa beliau, Amanah yang membuat desakan itu secara jelas mempersoal kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.
“UMNO memohon secara tertib. Masalahnya PAN (Amanah) kerana mendesak Yang di-Pertuan Agong menolak pengampunan Najib. UMNO hanya menyokong sahaja.
“Maka PAN yang tidak tertib. PAN yang hina budi bicara Yang di-Pertuan Agong. PAN secara jelas mempersoal kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong kerana membuat desakan itu.
“Sebab itu memang susah bersahabat dengan PAN. Hanya boleh jadi kawan. Kawan yang tidak beri jaminan Kerajaan Perpaduan boleh kekal. Kawan makan kawan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Amanah baru-baru ini merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.
Dalam kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad, hanya dengan cara itu nama baik negara dan komitmen memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.
Terdahulu, Mohd. Puad berkata, UMNO tiada masalah apabila Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub meminta penyokong Najib terbuka dengan keputusan Lembaga Pengampunan kerana UMNO akur proses perundangan.
“UMNO tidak membising pun bila Lembaga Pengampunan tidak bincang kes Najib dua hari lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.