PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin merasakan hutang yang didakwa pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mungkin lebih menjurus kepada hadiah kemenangan yang berada di bawah tanggungjawab Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Bagaimanapun, Hamidin menjelaskan beliau yakin bayaran hadiah kemenangan sudah dilakukan secara berperingkat dan MFL pasti memiliki data tentang bayaran berkenaan.
“Tidak ada, saya tidak pasti ada hutang atau tidak. Saya rasa mungkin MFL kerana ia hadiah kemenangan belum dilunaskan, tetapi saya rasa ia hampir dilunaskan.
“Dengan FAM tidak ada. Dengan MFL mungkin lewat (pembayaran) hadiah kemenangan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya.
Menerusi laporan media tempatan sebelum ini, Tunku Ismail berharap denda ekoran aktiviti pembakaran suar di Stadium Sultan Ibrahim selepas perlawanan dapat ditolak daripada hutang lama FAM.
Insiden membakar suar selepas perlawanan dianggap melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium. – KOSMO! ONLINE