fbpx

Fadlan Hazim tunang dengan wanita Kazakhstan, diuji jalan atas paku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FADLAN sudah bertunang dengan seorang wanita kelahiran Kazakhstan Oktober tahun lalu. - SADDAM YUSOF

SHAH ALAM – Pelakon Fadlan Hazim mengesahkan sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita asal Kazakhstan 1 Oktober tahun lalu.

Fadlan atau nama sebenarnya, Fadlan Hazim Anuwar berkata, wanita bernama Aiya Mukhamedsalova, 29, itu akan dinikahinya hujung tahun ini kalau tiada aral melintang.

“Saya bertemu keluarga Aiya Oktober tahun lalu dan kami dah bertunang. Alhamdulillah, proses pertunangan berjalan lancar.

“Bukanlah bermaksud nak sorokkan pertunangan, cuma saya tidak mahu terlalu berkongsi. Takut tak jadi nanti saya yang kena jawab.

“Saya cuma nak ceritakan yang budaya dan adat orang Kazakhstan sangat berbeza dengan kita namun itu tidak menjadi masalah untuk dua jiwa bersatu,” katanya kepada Kosmo! Online usai pembukaan cawangan baharu Elitez MMA & kejohanan Elitez Fight Night 5, di sini, hari ini.

Kata pelakon filem Sangkar itu, sebelum mengikat tali pertunangan, dia diuji dengan bermacam-macam perkara termasuk ujian ‘kelakian’  aneh demi membuktikan dirinya cocok untuk bersama dengan wanita terbabit.

FADLAN HAZIM ditemui media usai majlis pembukaan cawangan baharu Elitez MMA & kejohanan Elitez Fight Night 5, di sini, hari ini. – SADDAM YUSOF.

“Saya pun tak tahu kena lalu ujian tersebut. Tunang pun tidak beritahu akan hal itu. Cuba dia minta lakukan sahaja apa yang disuruh.

“Antara yang perlu saya lakukan adalab berjalan atas paku, menunggang kuda dan minum susu kuda.

“Saya juga dibawa mendaki gunung dalam keadaan suhu yang amat sejuk. Bayangkan saya perlu mendaki gunung tanpa memakai baju tebal,” ceritanya.

Di sebalik semua cabaran itu, Fadlan, 31, juga bersyukur kerana dapat mengenali budaya asing yang bakal menjadi sebahagian hidupnya.

Bercakap tentang perancangan mendirikan rumah tangga, aktor itu bagaimanapun belum menetapkan sebarang tarikh namun majlis dijangka akan diadakan hujung tahun ini.

“Belum ada tarikh yang pasti lagi. Sekarang ini tengah menguruskan dokumen sebab berkahwin dengan orang luar negara.

“Bagi saya dah sampai masa untuk berkahwin. Semua kawan-kawan sudah beristeri dan usia saya pun semakin meningkat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI