JOHOR BAHRU – Sebanyak 84 ‘laluan tikus’ dikenal pasti pihak berkuasa yang menjadi laluan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sepanjang perairan negeri Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, daerah Batu Pahat merekodkan jumlah laluan tikus tertinggi iaitu sebanyak 27 laluan dikenal pasti.
Menurutnya, ini diikuti Muar dengan 21 laluan, Kota Tinggi (10), Pontian (10), Seri Alam (9), Iskandar Puteri (4) dan Mersing (3).
“Kegiatan penyeludupan migran dari Indonesia terus mendapat tempat kerana dibantu ‘promosi murah’ yang ditawarkan sindiket terbabit.
“Selain itu, tindakan PATI, khususnya dari Indonesia yang turut ‘mengiklankan’ kegiatan itu secara cakap-cakap mulut juga meningkatkan lagi kegiatan berkenaan.
“Namun, daripada siasatan dibuat, ada antara mereka akan dikenakan caj tambahan antara RM1,500 hingga RM3,000 tetapi perkara itu dimaklumkan hanya selepas mereka sudah terjerat oleh sindiket berkenaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut beliau, kegiatan itu menjadi tarikan bagi pekerja asing yang sudah tamat tempoh kebenaran berada di dalam negara, tiada dokumen perjalanan sah atau tempoh permit kerja tamat.
“Golongan ini akan tertarik kerana menerusi sindiket berkenaan, mereka tidak perlu berurusan dengan kedutaan atau pihak berkuasa tempatan yang mungkin akan mengenakan kompaun terlebih dahulu.
“PATI yang menggunakan perkhidmatan itu adalah mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor berlainan dari seluruh negara, termasuk dari utara Semenanjung dan Lembah Klang.
“Mereka ini akan dibawa sindiket ke tempat menunggu sementara bot yang akan digunakan untuk membawa mereka tiba di laluan yang telah dikenal pasti,” katanya selain menambah perkhidmatan itu turut digunakan PATI yang pertama kali dan juga yang sudah lama. -KOSMO! ONLINE