RIYADH – Kehadiran Cristiano Ronaldo di Arab Saudi menyertai Al-Nassr sejak Januari lalu, tidak pernah lekang dengan kontroversi dan sentiasa menjadi topik perbualan para peminat di seluruh dunia.
Terbaharu, media Sepanyol, El Desmarque, melaporkan bekas Presiden Al-Nassr, Musalli Al-Muammar meluahkan kekecewaannya terhadap prestasi dan sikap Ronaldo berdasarkan temu bualnya dengan media Arab Saudi, ArabiaNews50.
Al-Muammar merasakan beliau rasa tertipu dengan tahap persembahan ditunjukkan pemenang lima Ballon d’Or yang penuh dengan pengalaman hebat itu, sepanjang bersama Al-Nassr setakat ini.
“Saya pernah kena scam (ditipu) dua kali dalam hidup ini. Pertamanya sewaktu saya memesan tiga kebab, tetapi hanya menerima dua sahaja dan keduanya adalah menandantangani Cristiano Ronaldo,” katanya.
Bagaimanapun, ia tidak bertahan lama apabila Al-Nassr pantas menafikan perkara tersebut dan mendawa pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk memutarbelitkan kenyataan presidennya itu.
“Laporan akhbar Sepanyol yang mendakwa kami (Al-Nassr) menipu urusan perpindahan Ronaldo adalah salah dan tidak benar. Mereka menganggap kenyataan lawaknya (Al-Muammar) seolah-olah benar,” kata Penasihat Akhbar Al-Nassr, Walid Al-Muhaidib.
Biarpun sering menjadi bahan kecaman, tetapi ia tetap tidak menjejaskan prestasi Ronaldo yang sehingga kini sudah berjaya menjaringkan 12 gol daripada 15 aksi dalam semua kejohanan bersama Al-Nassr.
Ia termasuk satu jaringannya ketika membantu Al-Nassr menewaskan Al Raed 4-0 dalam aksi Liga Pro Arab Saudi di Stadium KSU awal pagi semalam. – AGENSI