ALOR SETAR – Pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah akan mengadakan ceramah bergerak di seluruh negeri ini dengan menggunakan Bas Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Bas dua tingkat itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Madani Kedah di Dataran Stargate, di sini malam ini.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bas tersebut akan digunakan sepanjang kempen menjelang PRN nanti.
“Kami akan ke seluruh pelusuk negeri iaitu di semua DUN (Dewan Undangan Negeri) Kedah bagi ceramah.
“Bas Perpaduan ini akan pergi ke tempat anak-anak muda main bola, juga ke pekan nat sabtu Pokok Sena dan ‘parking’ di situ untuk bersyarah,” katanya ketika menyampaikan pidato di Himpunan Madani Kedah di Dataran Stargate, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya juga akan memastikan permit polis bagi kempen bergerak itu diluluskan segera.
“Permit polis jangan risau, saya akan lulus segera. Dulu kita ada masalah, sekarang tak ada masalah,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, Trak Perpaduan yang turut dilancarkan Perdana Menteri pula akan digunakan untuk membawa bantuan berupa makanan dan barang keperluan kepada rakyat memerlukan.
“Trak Perpaduan ini juga akan bergerak ke semua DUN dan singgah ke lokasi terpilih sebelum sukarelawan akan mengagihkannya ke rumah orang susah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE