fbpx

Sarung sandal putih, baju Melayu hitam sebelum lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUDIN (kiri) dan anaknya, Nur Safia Humaira menunjukkan sandal putih Allahyarham Muhammad Yusuf yang lemas ketika berkelah di Sungai Ketil di Baling kelmarin.

BALING – Seorang bapa tidak menyangka permintaan anak lelakinya untuk mengenakan sandal berwarna putih dengan baju Melayu hitam pada Aidilfitri lalu adalah merupakan permintaan terakhirnya sebelum ditemui mati lemas, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Yusuf Khairudin, 10, lemas ketika berkelah dan mandi-manda di Sungai Ketil dekat Loji Air Su­ngai Limau, Kupang, di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari.

Mayat mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia hilang pada pukul 4.50 petang.

Menurut bapa mangsa, Khairudin Mohd. Daud, 43, ketika membeli barangan persiapan Aidilfitri, arwah berkeras mahukan sandal berwarna putih meskipun saiz untuknya tiada.

“Saya cuba penuhi permintaannya dan mencari sandal putih di merata kedai tetapi tiada saiz untuknya.

“Saya cuba memujuknya untuk ambil sandal warna lain tetapi dia enggan, masih mahukan sandal berwarna putih, jadi saya terpaksa belikan sandal putih yang saiznya memang besar daripada saiz kakinya,” katanya di sini semalam.

GAMBAR terakhir Muhammad Yusuf ketika mandi sungai sebelum dihanyutkan arus sungai kelmarin.

Menurutnya, anak kelima daripada lapan beradik itu sangat gembira apabila me­ngenakan sandal putih yang dimahukannya itu dan sentiasa memakainya ketika menyambut hari raya.

Selain itu, katanya, anak-anaknya juga sepakat untuk memakai baju raya sedondon warna hitam pada hari raya Aidilfitri tahun ini.

“Ketika selesai membeli baju raya warna hitam itu, salah seorang daripada ahli keluarga ada menyebut dengan nada melawak ‘raya tahun ini kita berkabung ya’.

“Ia menjadi kenyataan apabila Yusuf pergi meninggalkan kami. Walaupun saya dan isteri, Siti Aminah Abdul Aduwad, 39, serta keluarga amat sedih de­ngan nasib menimpa Yusuf, namun kami reda dengan takdir ini dan menganggapnya sebagai ujian,” ujarnya.

Tambahnya, dia sekeluarga baru sahaja sampai ke kampung dari Subang, Selangor untuk menghantar salah seorang anaknya ke asrama di Gurun, dekat sini dan singgah bermalam di situ untuk berjumpa saudara mara.

Katanya, isteri bersama anak serta ahli keluarga lain kemu­dian berkelah di tepi sungai yang jaraknya hanya 100 meter dari rumah mangsa.

“Ketika kejadian saya masih di rumah kerana keletihan memandu kereta dari Subang sebelum isteri bergegas balik cari Yusuf kira-kira pukul 12 tengah hari,” ujarnya.

Sementara itu, kakak mang­sa, Nur Safia Humaira, 13, berkata, dia ternampak adiknya hanyut dibawa arus.

“Ketika mandi bersama adik serta saudara mara yang lain, saya ternampak adik meminta tolong kerana lemas.

“Saya memanggil ibu yang ketika itu berada di tepi sungai bersama adik-adik yang lain, tetapi ibu tak dengar. Saya mahu tolong adik tetapi tidak berani sebab air dekat situ dalam,” katanya.

Katanya lagi, dia melihat adiknya itu berusaha pergi ke tempat cetek, sebelum hilang di dalam air yang berjarak hanya kira-kira tiga meter.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI