fbpx

Aksi Aaron-Wooi Yik ada peningkatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON dan Wooi Yik tersingkir di pusingan kedua saingan BAC kali ini selepas tewas kepada beregu dari Taiwan kelmarin.

PENGARAH Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dapat melihat petanda positif ditampilkan beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik walaupun tersingkir daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia tersingkir di pusi­ngan ke­dua malam kelmarin selepas akur dengan kekalahan 21-14, 16-21, 19-21 kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tok­yo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.

Rexy berkata, kedua-dua anak buahnya menampilkan aksi jauh lebih baik jika dibandingkan dengan prestasi mereka ketika bermain di jelajah Eropah, iaitu kejohanan Seluruh England (All England), Terbuka Jerman dan Terbuka Switzerland Mac lalu.

“Prestasi Aaron dan Wooi Yik boleh dikatakan lebih baik jika dibandingkan dengan aksi mereka di Eropah sebelum ini. Apa yang kita siapkan sebelum ini, nampaknya sudah ada peningkatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada masa sama, beliau yang juga legenda beregu lelaki Indonesia menjelaskan, kekalahan beregu No. 2 dunia itu adalah disebabkan kesilapan sendiri selain tidak ada percaturan untuk mengganggu rentak permainan lawan.

“Cuma pada perlawanan semalam (malam kelmarin), ada beberapa keputusan yang dibuat dilihat seperti belum bersedia untuk membalas pukulan lawan. Keadaan itu menyebabkan mereka hilang fokus.

“Aksi di set pertama sangat bagus, namun semuanya berubah di set kedua apabila Aaron-Wooi Yik kurang berani untuk berdepan tekanan daripada lawan. Selain itu, mereka juga tidak ada inisiatif untuk mengatasi corak permainan Taiwan,” tambahnya.

Sementara itu, Rexy juga berpuas hati dengan prestasi ditampilkan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang berjaya menewaskan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun sebelum kalah kepada beregu Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI