LONDON – Manchester United mensia-siakan kelebihan dua gol apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
The Red Devils mendahului 2-0 di separuh masa pertama hasil jaringan Jadon Sancho dan Marcus Rashford, namun Spurs berjaya bangkit selepas waktu rehat menerusi jaringan Pedro Porro dan Son Heung-min.
Pengurus United, Erik Ten Hag mengakui kecewa dengan keputusan tersebut memandangkan mereka dilihat berpeluang mengutip tiga mata apabila memiliki kelebihan dua gol ketika menuju ke bilik persalinan di separuh masa pertama.
“Apabila anda sudah mendahului 2-0, sudah pasti akan ada rasa kecewa dengan keputusan seti, namun kami perlu terima keputusan ini dengan hati terbuka. Kami berpeluang untuk jaringkan gol ketiga, namun peluang itu disia-siakan.
“Bagaimanapun, mengambil kira apa yang kami harungi sepanjang minggu ini, saya percaya keputusan ini adil untuk kedua-dua pasukan. Secara jujur, kami tidak tampilkan aksi terbaik dalam 90 minit permainan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga turut mengkritik barisan pertahanan United yang banyak kehilangan bola sehingga membolehkan jentera serangan Spurs mudah untuk masuk ke dalam kawasan mereka.
“Kami tidak menunjukkan aksi bertahan yang baik apabila gagal menghalang pergerakan mereka, terutama ketika hantaran lintang. Saya percaya mereka dapat menjaringkan gol yang mudah hari ini (semalam),” ujar Ten Hag. – AGENSI