fbpx

Liga Super: Impian JDT hampir jadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FALCAO dikaitkan dengan JDT sejak beberapa bulan lalu dan mungkin akan menyertai Liga Malaysia pada jendela perpindahan kedua Julai depan.

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Radamel Falcao saling berbalas ‘risikan’ dalam laman media sosial sekali gus menguatkan khabar angin bahawa pe­nyerang antarabangsa Colombia itu akan berhijrah ke Malaysia pada jendela perpindahan ke­dua, Julai depan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terlebih dahulu melakukan ciapan di Twitter kelmarin dengan menyatakan bakal berjumpa dengan Falcao tidak lama lagi.

Ciapan tersebut turut dibalas oleh bekas pemain Manchester United berusia 37 tahun itu.

“Looking forward to seeing you (Tidak sabar bertemu de­ngan anda),” kata Falcao ringkas menerusi ciapan balas.

Sebagai rekod, media daripada Sepanyol pada bulan lepas mendedahkan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor ber­usaha untuk mendapatkan khid­mat Falcao selepas kontraknya bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano di­jangka berakhir pada Jun depan.

Menurut laporan itu, JDT difahamkan tidak mempunyai masalah untuk menawarkan kontrak sehingga tahun 2025 kepada Falcao.

Malah, selepas kontraknya sebagai pemain berakhir di JDT, Falcao akan terus diberi tugas menjadi sebahagian daripada pengurusan skuad Harimau Selatan dengan menjadi duta kelab JDT di peringkat antarabangsa.

Falcao dianggap salah seorang penyerang berkelas dunia selepas mewakili beberapa kelab utama seperti River Plate, Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, United, Chelsea dan Galatasaray.

JDT yang dikendalikan oleh Esteban Solari pula sudah memiliki lapan pemain import musim ini terdiri daripada Jordi Amat, Bergson Da Silva, Leandro Velazquez, Diego Luis Santo, Shane Lowry, Juan Muniz, Oscar Arribas dan Fernando Forestieri.

Jendela perpindahan Liga Malaysia pula akan kembali dibuka bermula 5 Julai hingga 1 Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI