LONDON – Max Verstappen mengakui bahawa dia gembira dengan perjalanan karier perlumbaan Formula Satu (F1) dan tidak berminat untuk mengejar gelaran tujuh kali yang dipegang Lewis Hamilton dan Michael Schumacher.
Ketika ini, Verstappen telah mengecapi dua gelaran dunia bersama pasukan Red Bull dan lebih manis dia juga berjaya memecahkan rekod dengan meraih 15 kemenangan Grand Prix pada musim 2022 sekali gus berhasrat untuk melakukan sekali lagi musim ini.
Verstappen memulakan kempen F1 musim ini dengan dua kemenangan di GP Bahrain, Australia dan tempat kedua di Arab Saudi untuk meletakkannya selesa di puncak dengan mengumpul 69 mata keseluruhan.
“Saya tidak berminat untuk memenangi tujuh atau lapan gelaran dunia. Jika anda mempunyai sebuah jentera terbaik untuk melakukan perkara seperti itu, maka anda seorang yang hebat.
“Tetapi, walaupun ia tidak berlaku, saya tetap gembira. Jadi, tidak mengapa kerana ketika ini saya gembira,” katanya.
Dalam pada itu, Verstappen juga mendedahkan dia enggan menghabiskan kariernya dalam satu jenis perlumbaan dan terbuka menyertai cabaran baharu.
“Sukar untuk mengatakan apabila anda tidak pernah berehat. Saya akan sentiasa berada dalam grid perlumbaan sehingga 2028.
“Saya masih lagi muda, tetapi saya selalu katakan ialah saya juga mahu menyertai perlumbaan lain seperti Fernando Alonso lakukan sebelum ini,” ujar Verstappen.
Verstappen melanjutkan kontraknya bersama Red Bull sehinga 2028 sekali gus berpeluang untuk menambah enam lagi gelaran. – AGENSI