BANGKOK – Seorang nelayan bertuah secara tidak sengaja menemui muntah ikan paus seberat 3 kilogram semasa bersiar-siar di sebuah pantai di Rayong, timur Thailand, lapor portal berita Thaiger semalam.
Jika terbukti tulen, dia boleh menjual muntah paus yang juga diberi jolokan ’emas terapung’ itu pada harga tiga juta baht (RM392,428).
Muntah paus atau ambergris ialah bahan berharga yang dihasilkan dalam sistem pencernaan beberapa spesies paus termasuk paus sperma.
‘Emas terapung’ itu mungkin berbau seperti najis apabila ikan paus memuntahkannya tetapi dilaporkan menghasilkan bau unik dan menyenangkan apabila terdampar di pantai serta menjadi kering di bawah sinar matahari.
Bahan itu digunakan dalam pembuatan minyak wangi yang mahal dan dijual dengan harga tinggi.
Nelayan yang menemui muntah itu, Chuwit Senanoi, 36, dari Rayong sedang mencari udang dan ketam di pantai mukim Pak Nam Prasae, daerah Klaeng apabila dia terjumpa ’emas terapung’ itu Ahad lalu.
Chuwit berkata, dia sedang berjalan di pantai apabila menemui lima ketul muntah ikan paus itu bertaburan di atas pasir dekat memorial kapal HTMS Prasae.
Nelayan itu berkata, dia mengenali muntah paus kerana pernah melihatnya dalam berita sebelum ini.
Bagaimanapun, dia sedang menunggu pakar-pakar untuk mengesahkan sama ada muntah tersebut asli.
Sebaik sahaja menerima sijil yang membuktikannya muntah ikan paus, dia akan segera menjualnya, kata Chuwit.
Jika diklasifikasikan sebagai Gred A, harganya boleh mencecah satu juta baht (RM130,809) untuk satu kilogram. – Agensi