CERITA selebriti buka tudung bukan lagi isu asing yang perlu dibahaskan sehingga menuai kontroversi dalam dunia seni hiburan tempatan.
Terbaharu, pelakon Alya Iman mengisi senarai terkini selebriti yang mengambil keputusan untuk menanggalkan hijab atas alasan mahu menjadi diri sendiri.
Tindakan anak kepada pelakon Allahyarham Azmil Mustapha itu mengejutkan orang ramai kerana dia sebelum ini memang dikenali sebagai seorang gadis yang manis berhijab.
Menurut Alya atau nama lengkapnya Nur Alya Iman Azmil, 22, tindakannya berkongsi penampilan terbaharunya pada 1 Syawal lalu itu kerana dia enggan terus menipu diri sendiri dalam media sosial.
Gala pada minggu ini menyenaraikan nama beberapa selebriti terkenal tanah air yang dahulunya pernah tampil dengan imej berhijab, namun akhirnya mengambil keputusan untuk tampil tidak lagi bertudung sehingga menimbulkan sensasi dalam radar industri hiburan tanah air.
Natasha Hudson
PERNAH tampil dengan imej berniqab pada sekitar tahun 2016, pelakon juga model jelita Natasha Hudson mengejutkan ramai apabila mengambil keputusan untuk tidak lagi berhijab pada tahun lalu.
Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 40, mula menanggalkan hijab selepas berkongsi gambar dan video sedang menjalani aktiviti luncur air di Kuantan, Pahang pada Januari 2022.
Tanpa sebarang alasan, Natasha bagaimanapun lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang tindakannya menanggalkan hijab.
Saat masih berhijab, Natasha pernah mengejutkan ramai apabila berbusana tidak selari dengan imej Muslimah.
Dia bukan sahaja memakai busana yang seolah-olah menampakkan bahagian bahu tetapi turut terbelah sehingga menampakkan betisnya.
Elyana
Tidak lama selepas tampil dengan imej berhijab, penyanyi Elyana akhirnya kembali ‘melepaskan’ tudung pada Ogos tahun lalu.
Elyana mengakui tertekan dengan segelintir netizen yang sering mempersoalkan caranya dalam menutup aurat.
Dalam satu temu bual bersama media, pemilik nama lengkap Erneelya Elyana Emrizal itu lebih selesa memilih tidak mengulas lanjut berhubung soal membuka hijab bagi mengelak munculnya lebih banyak cerita tidak masuk akal.
Penyanyi berusia 36 tahun itu juga memilih untuk tidak menghiraukan pandangan khalayak kerana mahu menjadi diri sendiri tanpa campur tangan pihak luar.
Uqasha Senrose
SELEPAS tiga tahun tampil dengan imej berhijab sejak 2014, pelakon jelita Uqasha Senrose akhirnya mengambil keputusan untuk tidak lagi bertudung pada 2016.
Ujar Uqasha, dia mengakui khilaf (membuka tudung) itu datang daripada diri sendiri dan biarlah urusan tersebut menjadi perantara antara dirinya dengan Tuhan.
Akui isteri kepada pelakon Kamal Adli itu, selama tiga tahun berhijab, imannya tidak tetap dan sering mengalami fasa turun naik.
Bahkan, Uqasha mengakui keputusannya untuk bertudung itu hadir ketika hatinya masih berkecamuk selepas putus cinta sehingga dia tidak berfikir panjang sebelum mengambil jalan untuk menutup aurat.
Sara Ali
TAMPIL manis berhijab sejak Januari 2016, pelakon Sara Ali akhirnya kembali berimej asal pada April 2017.
Dia mengambil keputusan menanggalkan hijab kerana tidak mahu menjadi hipokrit apabila melaksanakan sesuatu tuntutan agama tanpa kerelaan hati sendiri.
Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2015 itu mengakui tindakannya berhijab sebelum ini bukan untuk diri sendiri tetapi didorong oleh satu perkara.
Pelakon berusia 32 tahun itu mengakui tidak memperoleh ketenangan sepatutnya selepas berhijab.
Mengakui tindakannya melepaskan hijab bukan suatu hal yang patut dibanggakan, Sara berkata, dia hanya memilih untuk menjadi diri sendiri.
Emma Maembong
SELEPAS hampir lima tahun berhijab bermula 2014, pelakon Emma Maembong tidak lagi bertudung sejak Februari 2019.
Sedar tindakannya bukanlah suatu hal yang patut dibanggakan, Emma menegaskan apa yang dilakukannya bukanlah satu contoh yang baik untuk dijadikan ikutan.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail mengakui imannya masih belum kukuh untuk terus kekal berhijab dan selesa membiarkan keputusan yang dilakukan dengan berat hati itu ditanggung sendiri.