SEPANG – “Saya belum fikir nak sedia apa-apa juadah raya untuk anak, hanya fikir nak sambut dia sahaja dahulu,” kata Samsiah Misron, 64.
Samsiah adalah ibu kepada salah seorang kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Sudan iaitu Amirul Husni Sahar, 38, yang berjaya di bawa keluar dari Sudan, semalam.
Amirul Husni yang juga Setiausaha 1 Kedutaan Besar Malaysia di Sudan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menerusi penerbangan Saudi Airlines, SV834 kira-kira pukul 4 petang tadi.
Samsiah bersama suami, Sahar Misron, 64, berada di KLIA sejak pukul 2.30 petang tadi bagi menyambut anak, menantu dan dua cucunya itu.
Menurutnya, dia berasa bersyukur kerana anaknya sekeluarga berjaya di bawa keluar dari negara konflik itu
“Apabila saya dapat tahu anak saya berjaya dikeluarkan semalam, saya terus batalkan semua kunjungan rumah terbuka dan tidak sabar menunggu ketibaannya.
“Kali terakhir kami bertemu pada 2019 ketika dia (Amirul Husni) bertugas di Riyadh,” katanya.
Ujarnya, anaknya mula ditugaskan di Sudan sejak Januari lalu dan berada di sana bersama isteri serta dua anak.
Samsiah berkata, dia dimaklumkan menantunya kini sarat mengandung dan ia sekali gus menimbulkan kegusaran buatnya sekeluarga.
“Kami bertambah gusar selepas dimaklumkan, anak saya bersama rakyat Malaysia lain terpaksa menempuh perjalanan lebih 30 jam dari Sudan ke Jeddah membabitkan lebih 1,000 kilometer,” katanya.
Terdahulu, seramai 30 rakyat Malaysia selamat tiba di KLIA dan mereka disambut Menteri Luar Negeri, Datui Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. – KOSMO! ONLINE